KUALA LUMPUR 19 Ogos – Pas menyambut baik keterbukaan MIC yang sedia menjalin kerjasama dalam pelbagai aspek demi kepentingan bersama termasuk memberi sokongan kepada calon Pas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia.
Perkara itu dimaklumkan dalam satu pertemuan antara Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran di Pejabat Agung Pas Pusat, hari ini.
Setiausaha Politik kepada Presiden Pas, Syahir Sulaiman berkata, dalam pertemuan tersebut, Abdul Hadi berkongsi pandangan mengenai kemajmukan kaum dan kepelbagaian agama di negara ini serta keperluan untuk memberi kefahaman sebenar demi mewujudkan keharmonian antara agama.
“Pas menyambut baik keterbukaan MIC yang menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama dalam agenda kebajikan rakyat dan keharmonian kaum dalam negara.
“Presiden Pas merakamkan setinggi penghargaan kepada Vigneswaran di atas pertemuan yang bersejarah ini serta menyatakan kesediaan untuk meneruskan usaha dialog antara kaum dan agama, demi mewujudkan perubahan yang lebih baik dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. – UTUSAN ONLINE.











