KUALA LUMPUR 19 Ogos – Polis menahan seorang wanita warga China selepas dikatakan terlibat dalam kes penipuan menyebabkan seorang suri rumah kerugian sehingga RM10,000.
Suspek berusia 47 tahun itu ditahan di pasar pagi di Puchong Indah dekat sini kira-kira 8.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, penahanan itu dilakukan susulan laporan polis yang dibuat oleh anak mangsa.
Ujarnya, suri rumah terbabit dikatakan telah dipukau oleh suspek bersama dua lagi rakannya yang mengatakan rumah mangsa mempunyai hantu dan perlu dihalau.
“Suspek dan rakan-rakannya mengakui boleh membantu untuk membuang hantu tersebut dengan syarat mangsa perlu memgambil barang berharga miliknya dan sejumlah wang.
“Mangsa yang terpedaya terus pulang ke rumah manakala suspek dan rakannya tunggu berhampiran rumah mangsa sebelum mangsa menyerahkan masing-masing lima bentuk cincin emas dan rantai emas serta wang tunai berjumlah RM5,000,” katanya di sini hari ini.- UTUSAN ONLINE











