PAGI 3 Ogos 2018, Fatin Nursyahirah dan Azzam selamat diijabkabulkan. Pernikahan mereka begitu ringkas, hanya dihadiri ahli keluarga terdekat, tiada baju pengantin, malah ketika Azzam melafazkan akad nikah, Fatin Nursyahirah hanya mampu terbaring di atas katil, sebelum dia dimasukkan ke Hospital Jitra, Kedah petang itu untuk menjalani rawatan akibat sesak nafas.
Bagaimanapun, dalam tempoh tidak sampai 24 jam selepas pernikahannya, Fatin Nursyahiraq menghembuskan nafas terakhirnya. Inilah pengorbanan terbesar buat keluarga Azzam dan Fatin Nursyahirah. Kisah ini bukan sahaja menyentuh hati orang ramai tentang sebuah kisah percintaan, malah orang ramai mula menyebut tentang sarkoma sejenis kanser tisu yang jarang diambil peduli.
Apakah itu Sarkoma?
Apakah yang dimaksudkan dengan kanser sarkoma? Menurut Pakar Onkologi Hospital Pakar KPJ Johor, Dr. Natasha Mohd Hashim, sarkoma ialah sejenis kanser yang melibatkan tisu-tisu sokongan (connective tissue ) seperti otot, tendon, saraf, salur darah dan lemak. Sarkoma berlaku apabila sel-sel normal bertukar kepada tisu abnormal di mana sel-sel di dalam tisu tersebut tumbuh secara tidak terkawal.
“Terdapat lebih daripada 50 jenis sarkoma bergantung kepada tisu asal sarkoma tersebut. Contohnya, liposarkoma berasal daripada tisu lemak, leiosarkoma berasal daripada tisu otot, kondrosarkoma berasal daripada tulang rawan, osteosarkoma berasal daripada tulang dan hemangiosarkoma berasal daripada salur darah.
“Sarkoma ialah kanser yang berbeza dengan karsinoma. Kebanyakan pesakit kanser (90 peratus) ialah karsinoma manakala sarkoma merupakan 10 peratus sahaja daripada jumlah keseluruhan pesakit kanser. Sarkoma berlaku pada tisu sokongan manakala karsinoma berlaku pada sel-sel yang menyelaputi organ-organ di dalam badan seperti payudara, perut, usus, ginjal dan paru-paru,” katanya.
Tambah Dr. Natasha, sarkoma jarang berlaku dan lebih kerap terjadi dalam kalangan remaja dan kanak-kanak. Kebarangkalian antara lelaki dan perempuan adalah sama. Ia boleh berlaku di mana-mana sahaja bahagian tubuh tetapi ia kerap berlaku di anggota tangan dan kaki.
Dalam pada itu, sehingga kini punca terjadinya sarkoma masih tidak diketahui. Walau bagaimanapun seseorang itu berisiko tinggi untuk mendapat sarkoma sekiranya dia pernah menjalani rawatan radioterapi, menghidap HIV atau AIDS, penyakit genetik keturunan seperti neurofibromatosis, Gardner’s syndrome atau Paget’s disease.
“Sarkoma bukanlah penyakit keturunan tetapi jika terdapat ahli keluarga yang menghidap sarkoma, maka ahli keluarga lain mempunyai risiko lebih tinggi untuk menghidapnya,” jelasnya.
Oleh itu, harapan untuk bebas sarkoma adalah tinggi jika ia dikesan di peringkat awal. Rawatan utama untuk sarkoma ialah pembedahan. Rawatan tambahan adalah bergantung kepada hasil pembedahan. Jika ketumbuhan yang kecil dan tidak mempunyai ciri-ciri agresif, maka tiada rawatan tambahan diperlukan. Tetapi jika ketumbuhan sarkoma yang besar, agresif atau pembedahan yang tidak total maka rawatan tambahan diperlukan seperti radioterapi atau kemoterapi.
Jika ia merebak ke organ lain terutamanya paru-paru, pada tahap ini, harapan untuk sembuh adalah sukar. Rawatan untuk tahap ini ialah kemoterapi, terapi khusus (targeted therapy) dan kadangkala radioterapi.
Kesemua rawatan tersebut berlainan terhadap setiap individu pesakit bersesuaian kepada keadaan dan parahnya simptom semasa dinilai oleh doktor pakar.
Secara amnya, survival untuk peringkat satu dan dua ialah 60 hingga 70 peratus dalam lima tahun. Jika seorang pesakit melepasi durasi lima tahun tanpa tanda-tanda kanser berulang, maka pesakit tersebut dianggap telah bebas dari kanser.
Pesakit padatahap empat mempunyai survival 15 peratus dalam masa lima tahun. Kebarangkalian untuk sembuh adalah sangat tipis untuk pesakit tahap empat.
Tanda-tanda sarkoma:
Benjolan atau ketulan yang membesar secara perlahan dalam jangka masa berminggu-minggu.
Ketulan itu biasanya tidak sakit ketika ia masih kecil.
Jika ketulan terjadi di dalam bahagian abdomen, pesakit boleh mendapat sakit perut dan kadangkala najis berdarah.
Jika ketulan itu berada di dalam paru-paru, pesakit boleh mendapat batuk berpanjangan dan sakit dada.
Sarkoma boleh dikesan di peringkat awal jika ketulan atau benjolan berada di bahagian tubuh yang mudah dilihat seperti tangan dan kaki.
Salur limfa
Salur darah
Lemak
Saraf
Otot, tendon dan rawan
Fatin Nursyahirah Yusuf, 24, disahkan menghidap sarkoma (sejenis kanser tisu) pada tahap tiga. Namun itu tidak menghalang niat Mohamad Saiful Azzam Mohmed (Azzam), 25, untuk memperisterikan Fatin Nursyahirah. Pada 17 Jun lalu, Azzam meminang kekasih hatinya walaupun kanser Fatin Nursyahirah ketika itu sudah pun berada pada tahap empat.











