TAWAU – Tindakan seorang lelaki dipercayai cuba menyeludup keluar 150 kotak minyak masak ke negara jiran membawa padah apabila dia ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau di perairan Tanjung Batu di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang tersebut suspek berusia 29 tahun yang menaiki bot jongkong ditahan anggota PPM yang sedang menjalankan Ops Landai Khas di kawasan perairan terbabit.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superitendan Mohd. Nazri Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan lelaki berkenaan cuba membawa keluar sebanyak 2,250 peket minyak masak ke negara jiran tanpa surat kebenaran dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
“Semasa ditahan, suspek dalam perjalanan dari kawasan Tanjung Batu daerah ini menuju ke Pulau Sebatik, Indonesia namun, cubaannya berjaya ditumpaskan anggota PPM Tawau.
“Selain minyak masak terbabit kami turut menyita sebuah bot jongkong berwarna kelabu dan dua unit enjin sangkut yang mana nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM51,650,” katanya hari ini.
Tambah Mohd. Nazri, suspek dan barang rampasan dibawa ke Pangkalan PPM Tawau dekat sini untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. – K! ONLINE











