Halimah lawan Halimey - Utusan Malaysia

Halimah lawan Halimey

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Ogos – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon PKR dengan Pas.

Perkara itu disahkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Mohd. Azizi Mohd. Zain selepas pihaknya menerima borang kedua-dua calon tanpa sebarang bantahan sejurus tempoh proses penamaan ditutup pada pukul 10 pagi.

PKR mempertaruhkan Halimey Abu Bakar, 46, manakala Pas pula diwakili Dr. Halimah Ali, 58, yang mana masing-masing memasuki Pusat Penamaan Calon PRK DUN Seri Setia, Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dekat sini serentak kira-kira pukul 9.08 pagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kelihatan hadir bersama Ha­limey yang merupakan bekas Ahli Majlis MBPJ ialah Pre­siden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Pengerusi PKR Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin.

Halimah yang juga bekas Exco kerajaan negeri Selangor dan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat pula di­iringi Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Sal­lehen Mukhyi.

Turut sama pimpinan tertinggi UMNO iaitu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah serta Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad.

PRK DUN Seri Setia diadakan berikutan penyandangnya, Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin me­ninggal dunia akibat barah usus pada 2 Ogos lalu.

Sementara itu ketika ditemui, Halimey berkata, beliau akan menyelesaikan isu berkaitan kemudahan dan infrastruktur program perumahan rakyat (PPR) di Lembah Subang.

“Saya ingin mendahulukan isu ini berikutan di DUN Seri Setia mempunyai banyak pangsapuri kos rendah. Selain itu, saya juga berazam untuk menyelesaikan masalah kemiskinan bandar,” ka­tanya.

Dalam pada itu Halimah men­jelaskan, kerajaan negeri memerlukan suara pembangkang yang kuat agar tidak leka dan lena dalam menjalankan amanah yang diberikan oleh rakyat.

“Berdasarkan pengalaman menjadi Exco kerajaan Selangor semasa Pas menjadi sebahagian daripada Pakatan Rakyat adalah sukar untuk wakil rakyat me­ngeluarkan kenyataan yang ber­canggah dengan kerajaan,” ka­ta­nya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN