KUALA LUMPUR 18 Ogos – Penyanyi dangdut Elda Susanti mengaku pernah berdepan kesukaran untuk mengelak daripada terus bergelek selepas membuat keputusan memakai hijab.
Elda yang popular menerusi lagu Yang Ku Sayang berpendapat masyarakat hari ini mempunyai hak untuk memberi pandangan yang imej bertudungnya itu tidak sesuai membawakan lagu berbentuk sedemikian.
Pun begitu, pemilik nama penuh Elda Susanti Abdul Majid, 36, ini tidak menganggap ia sebagai penghalang untuk dia terus mempertahankan genre dangdut.
“Ia satu cabaran apabila menyanyi dangdut dengan imej saya yang bertudung. Saya terbuka menerima pandangan dan kritikan daripada warganet.
“Sebagai salah satu cara untuk elak timbulnya kontroversi kurang enak, saya akan memastikan batas-batas sebagai wanita berhijab terjaga bila menjayakan persembahan hiburan.
“Biasa lah, bila kita tengah buat persembahan, kadangkala boleh ‘lupa diri’ tetapi apa-apa pun saya masih tahu had dan tak nak keterlaluan pada pandangan mata khalayak umum,” katanya. – UTUSAN ONLINE











