BANGI – Tindakan MCA bertanding di atas logo parti sendiri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong dilihat hanya akan memecah-belahkan rakyat, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Beliau berkata, parti berkenaan hanya mewakili satu kaum sahaja berbanding Pakatan Harapan (PH) yang mewakili semua kaum.
“Kita bertanding di bawah PH yang mewakili semua rakyat Malaysia tak kira kaum, agama dan kita adalah lambang Malaysia berbanding parti lawan dia hanya wakil satu kaum daripada satu barisan dia keluar memencilkan diri untuk mewakili satu kaum sahaja.
“Bila nak dapatkan sokongan dari parti lain dia kata oh saya nak dapat sokongan dari satu parti yang hanya perjuangkan satu agama and anti agama lain. Itu jelas parti macam ini nak memecah-belahkan rakyat berbanding PH yang kita nak satu padukan rakyat” katanya ketika ditemui pemberita di pusat penamaan calon PRK DUN Balakong di Dewan Utama Demesne di sini hari ini.
Pada penamaan calon hari ini, Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Rosli Othman mengumumkan pertembungan satu lawan satu antara calon PH, Wong Siew Ki, 32, dan calon MCA, Tan Chee Teong, 40, bagi PRK berkenaan yang dicetuskan berikutan kematian penyandangnya, Eddie Ng Tien Chee dalam satu kemalangan jalan raya 20 Julai lepas. – Bernama











