Malaysia berminat manfaatkan teknologi Alibaba - Utusan Malaysia

Malaysia berminat manfaatkan teknologi Alibaba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANGZHOU 18 Ogos – Malaysia berminat meneroka teknologi e-dagang terkemuka dunia kumpulan Alibaba bagi manfaat rakyat Malaysia, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini.

Perdana Menteri berkata, Alibaba Group Holding Ltd., telah memanfaatkan sepenuhnya teknologi moden demi kepentingan rakyat.

“Kami mahu memanfaatkan idea teknologi moden anda supaya ia memberi faedah kepada rakyat Malaysia,” kata Dr. Mahathir ketika melawat ibu pejabat Alibaba di tempat asal pengasasnya, Jack Ma, di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dr. Mahathir berkata, Alibaba sangat memahami kehebatan teknologi, sambil memberitahu, perniagaan secara dalam talian yang dihasilkan telah mengambil kira sistem penyampaian akaun, kepantasan serta akses kepada maklumat dan data.

Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir yang kini memasuki hari kedua lawatan rasmi selama lima hari ke China bercakap di hadapan Ma dan pasukan pengurusan tertingginya pada sesi taklimat oleh kedua-duanya di ibu pejabat syarikat itu.

Berkongsi pengalamannya sendiri dalam mengusahakan perniagaan kedai roti, perdana menteri memberikan contoh bahawa perniagaan seumpama itu boleh dijual di pasaran kecil tanpa dalam talian, namun mampu mencecah sehingga 90,000 orang jika dipasarkan secara dalam talian.

Pasaran itu mungkin boleh diperluaskan lagi sekiranya ditambah baik dengan sistem penyampaian (pintu ke pintu), kepantasan serta menggunakan sepenuhnya akses kepada maklumat dan data, kata Dr. Mahathir yang memulakan perniagaan kedai roti tersebut selepas melepaskan jawatan perdana menteri pada tahun 2003.

Sementara itu, Ma pula berkata, beliau sebenarnya mendapat ilham untuk menceburi perniagaan tersebut sejak 23 tahun lepas, semasa pelancaran Koridor Raya Multimedia Malaysia (MSC) oleh Dr. Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri Malaysia keempat. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN