JOHOR BAHRU – Kreativiti seorang guru Bahasa Inggeris, Nor Fadzleen Sa’don yang memanfaatkan teknologi digital termasuk penggunaan virtual realiti (VRBox) di dalam kelas mendapat pengiktirafan apabila beliau dinobatkan sebagai Tokoh Pengajar Bahasa Inggeris pada persidangan Persatuan Pengajar Bahasa Inggeris Malaysia (MELTA) di Hotel Berjaya Waterfront di sini hari ini.
Menurut Nor Fadzleen, 41, pendekatannya dalam pembelajaran bahasa Inggeris di kelas dengan menggunakan teknologi digital bagi menarik minat dan pendedahan kepada anak muridnya di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda di sini.
Sebagai tenaga pengajar, katanya, beliau tidak boleh hanya bergantung kepada pendidikan konvensional semata-mata tetapi perlu mengikuti arus perubahan pembelajaran teknologi terkini supaya para pelajar dapat menyesuaikan diri dan tidak ketinggalan.
“Saya mempunyai laman sosial seperti YouTube dan blog yang boleh diakses para pelajar untuk mempelajari bahasa Inggeris dengan lebih mudah dan menarik.
“Selain itu, saya juga selalu mengadakan pembelajaran menggunakan VRBox kepada pelajar untuk merasai pengalaman digital mengenai sesuatu video dalam bahasa Inggeris,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Persidangan kali ke-22 tersebut dirasmikan oleh Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah.
Turut hadir ialah Presiden MELTA, Prof. Dr. Gaanakumaran Subramamaniam dan lebih 500 peserta dari dalam dan luar negera pada persidangan tersebut.
Nor Fadzleen berkata, beliau juga sering mengadakan kerjasama dengan pihak sekolah di luar negara seperti Amerika Syarikat untuk membuat video pembelajaran bagi memberi pendedahan kepada anak muridnya dan berinteraksi dengan pelajar asing.
“Melalui teknologi seperti media sosial, saya dan anak murid akan berinteraksi dengan pelajar luar negara itu untuk berkomunikasi dan bertanyakan soalan,” ujarnya.
Tambahnya, penggunaan dan pendedahan teknologi kini amat penting kepada para pelajar supaya mereka mempunyai pengetahuan yang berguna apabila menempuh alam universiti dan pekerjaan kelak. – K! ONLINE











