PETALING JAYA 18 Ogos – Barisan kepimpinan tertinggi UMNO hari ini hadir ke Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini bagi memberi sokongan kepada calon Pas Pilihan Raya Kecik (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Dr. Halimah Ali.
Pengerusi Badan Perhubungan negeri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah hadir mengikuti perarakan bersama Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menuju ke dewan penamaan calon.
Turut hadir, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi.
PRK DUN Seri Setia diadakan berikutan penyandangnya, Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia akibat kanser usus pada 2 Ogos.
Pada Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14), Shaharuddin menang besar di kerusi DUN Seri Setia menewaskan calon Barisan Nasional, Yusoff M.Haniff dengan mendapat 29,250 undi.
Beliau mengalahkan Yusoff yang memperolehi 9,878 undi, calon Pas, Mohd. Ghazali Daud (4,563) dan calon bebas S. Vigneswaran (217). – UTUSAN ONLINE











