PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui terdapat dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) masih memiliki sifat-sifat pembangkang walaupun mereka telah berjaya membentuk kerajaan sejak Mei lalu.
Menurut beliau, perkara itu berlaku kerana kebanyakan pemimpin berkenaan telah menjadi pembangkang sejak 61 tahun lalu kerana gagal mengalahkan Barisan Nasional (BN).
“Perubahan kerajaan hanya berlaku selepas 61 tahun. Jadi pemimpin kerajaan bersifat pembangkang ini masih muncul dan pengaruhi pemikiran mereka dan ia perlu ambil masa untuk menyesuaikan diri,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Penyerahan Felo Perdana 2018 di Bangunan Perdana Putra di sini semalam.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan menteri-menteri Kabinet lain.











