KUALA LUMPUR 17 Ogos – Bank Negara Malaysia (BNM) mengenakan denda sebanyak RM15 juta terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB) pada ‘waktu di mana bank Pusat berkenaan dibenarkan untuk melakukannya’, kata Gabenornya, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus.
Bagaimanapun beliau tidak menyatakan dengan jelas waktu berkenaan.
Nor Shamsiah berkata demikian dalam sidang akhbar pertumbuhan keluaran dalam negara kasar Malaysia untuk suku kedua tahun ini di sini hari ini.
Pada 28 April 2016, BNM mengeluarkan surat keterangan pentadbiran kepada 1MDB kerana gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.
Ia adalah antara tindakan akhir yang diambil Tan Sri Zeti Akhtar Aziz sebelum bersara sebagai Gabenor BNM.
Nor Shamsiah mendedahkan pada waktu berkenaan, bank Pusat itu dilarang daripada menyatakan jumlah denda berkenaan.
Oleh kerana Parlimen semalam memberikan lampu hijau untuk membuka semula siasatan 1MDB, BNM akan meneruskan untuk menyelaraskan dengan pelbagai agensi di bawah pasukan petugas khas yang dibentuk bagi menyiasat syarikat berkenaan, katanya
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada 21 Mei lalu berkata, pasukan petugas khas yang diketuai bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan tiga lagi pemimpin dibentuk untuk menyiasat 1MDB.
Pasukan petugas khas itu turut merangkumi pegawai BNM, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Peguam Negara dan polis, selain peguam yang mengkhususkan dalam bidang undang-undang berkaitan.
“Sebagai sebahagian daripada pasukan petugas khas itu, kami membantu pasukan berkenaan dengan berkongsi kertas siasatan kami dan apa yang kami ketahui setakat ini kepada agensi berkaitan dan pasukan petugas itu,” katanya. – BERNAMA











