MUKADIMAH: Genap 100 hari pentadbiran
kerajaan Pakatan Harapan
(PH), Perdana Menteri, Tun Dr.
Mahathir Mohamad semalam
menyampaikan perutusan khas
yang menyentuh pelbagai isu
antaranya:
Hutang dan kewangan negara
“Setelah PH mengambil alih kerajaan, didapati kerosakan dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) jauh lebih buruk daripada yang dijangkakan malah jabatan kerajaan dipergunakan oleh kerajaan terdahulu untuk membuat kerja parti dan bukan pentadbiran negara dengan baik.
“Beban yang besar yang ditinggal pemerintah dahulu ialah hutang bertrillion ringgit untuk membayar faedah sahaja boleh jadi kita muflis apatah lagi dengan bayaran hutang pokok.
Cukai jualan dan perkhidmatan (SST)
“Untuk membawa balik SST memerlukan kelulusan Parlimen. Proses mendiri kerajaan dan persidangan Parlimen mengambil masa. Sementara SST menunggu kelulusan Parlimen, maka cukai SST tidak dapat dikutip. Dengan itu harga kereta dan lain-lain menurun dan rakyat menikmati keadaan jual murah.
Projek mega
“Kajian terperinci mengenai projek-projek mega yang dianugerahkan kepada negara asing telah dimulakan. Pelaksanaan projek kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura (MyHSR) telah ditangguhkan pada 30 Mei 2018; projek Transit Aliran Massa laluan tiga (MRT3) dibatalkan pada 30 Mei 2018; projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ditangguhkan pelaksanaannya pada 3 Jun 2018.
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI)
“RCI bagi 1MDB, Felda, Mara dan Tabung Haji tidak dilaksana kerana siasatan pelbagai agensi sedang dijalankan dan mahkamah akan tentukan keputusan kes.”
Hutang peneroka Felda
“Dalam usaha menghapuskan hutang tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka Felda terdapat tiga mekanisme dikenal pasti iaitu insentif pelupusan sebahagian hutang tanam semula yang ekstrem melalui penyediaan dana sebanyak RM300 juta untuk 5 tahun; pelupusan hutang tanam semula berjumlah RM5,000 bagi setiap peneroka bersama sistem Felda melibatkan 90,418 peneroka dengan kos sebanyak RM452 juta dan insentif pelupusan sebahagian baki pinjaman saham FGV melibatkan 77,972 peneroka dengan kos sebanyak RM103 juta.
Isytihar harta
“Berhubung perisytiharan harta, garis panduan sedang dipinda di mana tafsiran anggota pentadbiran diperluas supaya Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri juga perlu isytihar harta. Dalam hal ini, pindaan akan dibuat ke atas Kod Etika Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen Kerajaan.
“Mulai sekarang perisytiharan harta akan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya ada keterbukaan dan ketelusan dalam amalan ini.
Rasuah
“Kerajaan telah merealisasikan 21 janji atau 35 peratus daripada 60 janji dalam manifesto PH untuk membebaskan Malaysia daripada isu rasuah dan menentukan tadbir urus yang baik. Antara perkara yang telah dilaksanakan setakat ini termasuklah mewujudkan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah dan menubuhkan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC).
Media
“Sejak kami mengambil-alih tampuk kepimpinan, kerajaan telah memenuhi janji tidak akan menyekat kebebasan bersuara dan media. Namun kebebasan ini tidak termasuk usaha dan laporan untuk menghasut kaum-kaum supaya bermusuh sehingga tercetus huru-hara dan rusuhan.
Harapan
“Semua yang telah saya nyatakan bukanlah untuk mempertahankan kerajaan baharu ini tetapi menjurus kepada berkongsi dengan rakyat apakah yang telah kami usahakan sejak 9 Mei tahun ini.
“Walaupun ramai pemimpin kerajaan hari ini tidak mempunyai pengalaman mentadbir tetapi dalam tempoh 100 hari mereka telah berjaya menunai janji dan memperlihatkan keupayaan mentadbir. Sebagai manusia biasa, kami tidak dapat elak daripada melakukan kesalahan. Kami rela ditegur dan kami tidak akan bertindak kasar terhadap mereka yang menegur.’’











