KLANG 17 Ogos – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, yang pegawai kanannya disiasat kerana menerima RM800,000 enggan mengulas tindakan calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendedahkan bukti transaksi wang yang diterima pegawai terbabit.
Mohamad yang juga Presiden Amanah ketika ditemui hari ini enggan menjawab sebarang pertanyaan berhubung isu tersebut dan segera menamatkan sesi bersama media apabila perkara berkenaan dibangkitkan.
“Tak apa, tak mahu jawab yang itu,” katanya ketika diminta mengulas tindakan Rafizi selepas mengadakan lawatan lokasi hutan tanah gambut yang terbakar di Johan Setia di sini hari ini.
Kelmarin, Rafizi mendakwa beliau mempunyai dokumen bagi mengesahkan bayaran meragukan berjumlah RM800,000 diterima pegawai kanan Mohamad yang kini sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut calon Timbalan Presiden PKR tersebut, dokumen berkenaan juga mengesahkan bahawa status muflis orang kuat Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu akan diselesaikan dalam tempoh dua hari.











