GOLONGAN orang kurang upaya (OKU) adalah kumpulan yang seringkali ketinggalan dalam serba serbi terutama dari segi hak dalam masyarakat. Cakaplah apa sahaja bahawa nasib kumpulan ini sudah lama terbela, realitinya tidak. Tidak perlu pergi jauh-jauh, pandanglah di sekeliling seketika, contoh paling jelas ialah kemudahan awam untuk mereka.
Hampir semua tempat awam menyediakan kemudahan seperti tempat meletak kereta, tandas, tempat duduk khas dalam bas, LRT, komuter dan lain-lain untuk golongan ini, tetapi adakah kemudahan ini benar-benar menjadi hak mereka? Jawapannya tidak. Hak-hak mereka masih dinafikan malah seringkali dicabuli oleh orang awam yang normal. Sudah banyak kes, tempat letak kereta, tandas, tempat duduk mereka digunakan oleh bukan OKU tanpa rasa bersalah sedikitpun.
Ini belum mengambil kira lagi hak-hak untuk mendapat pekerjaan yang sempurna dan setaraf dengan pekerja lain. Walaupun mereka mendapat peluang menuntut ilmu yang sama dengan orang biasa di sekolah dan universiti, keadaan menjadi sebaliknya ketika memasuki alam mencari pekerjaan. Kumpulan ini berhadapan dengan diskriminasi teruk walaupun mempunyai kelayakan akademik setaraf dengan calon lain. Keadaan dan kekurangan dari aspek fizikal seringkali dijadikan alasan muluk untuk menolak permohonan mereka.
Walaupun ada syarikat korporat yang sudi mengambil golongan ini namun bilangannya masih kecil dan terhad kepada sektor pekerjaan tertentu sahaja. Sektor-sektor pekerjaan lain masih keberatan untuk menggaji mereka sebagai pekerja. Adalah tapi boleh dikira dengan jari. Memang betul, mengambil mereka sebagai pekerja sudah tentu menambah kos syarikat. Maklumlah kena sediakan tandas, parkir, lif, tempat duduk khas untuk golongan ini yang sudah tentu memerlukan perbelanjaan tambahan.
Kesudahannya ramai yang terpaksa ‘bekerja sendiri’ dengan kemahiran yang ada. Ada yang menjalankan perniagaan dalam talian secara kecil-kecilan, mengajar di sekolah swasta atau pusat-pusat tuisyen dan institusi kemahiran. Mereka cuba lari daripada stereotaip OKU yang selama ini hanya mampu menjadi tukang urut, penjual tisu di kaki lima atau peminta sedekah jalanan yang dapat dilihat setiap malam menjelajah dari satu restoran ke satu restoran atau kedai-kedai makan di tempat-tempat tumpuan ramai.
Bagi yang ada bakat dalam bidang seni pula, mereka menjadi penghibur jalanan dengan membuat persembahan seni di kaki-kali lima berhadapan kompleks beli belah dengan mengharapkan derma sumbangan ikhlas daripada penonton.
Syukurlah bakat besar mereka dalam bidang ini mula mendapat pengiktirafan arus perdana dengan sebahagian sudah menempa nama dan mendapat tempat dalam industri hiburan tanah air. Namun bilangan itu masih lagi kecil.
Walaupun kerajaan sudah memperkenalkan pelbagai polisi, program serta insentif bagi membantu golongan ini, hakikatnya masih indah khabar daripada rupa. Jika di pihak kerajaan kelihatan bersungguh-sungguh, segelintir pihak lain tidak pula sedemikian. Mereka menyokong sekadar memenuhi kuota sahaja, tidak banyak membantu. Dalam keadaan yang boleh dikatakan ‘payah’ ini kumpulan ini bagaimanapun tidak pernah berputus asa, sebaliknya.
Dan apabila seorang timbalan menteri membuat satu syor agar kemudahan tandas OKU yang selama ini sudah kerap kali dicabuli sesuka hati oleh manusia normal, boleh dikongsi oleh satu golongan ‘minoriti baharu’ iaitu transgender, mereka ada sebab untuk naik berang!
Membenarkan golongan ini berkongsi kemudahan dengan OKU adalah satu perbuatan yang sangat jijik. Samalah juga dengan syor agar golongan transgender dibenarkan berkongsi surau wanita dan tandas wanita yang terang-terangan satu perbuatan menjengkelkan! Apa lagi hak yang ada pada OKU jika tandas, satu tempat yang paling ‘peribadi’ pun sudah dibuka kepada orang lain secara sah.
Dalam isu ini ada beberapa netizen secara sinis dan nakal bertanya: Adakah tandas OKU juga boleh dibuka kepada golongan yang ‘cacat jantina’ dan ‘alat kelamin’?











