KEPUTUSAN kerajaan memansuhkan saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) mungkin disambut gembira oleh mereka yang mempunyai saman tersebut. Bagaimanapun Awang berharap ‘berita gembira’ ini tidak akan dijadikan ‘lesen’ oleh mana-mana pengguna jalan raya untuk memandu laju khususnya di lebuh raya.
Sementara ia boleh dianggap hadiah sempena 100 hari kerajaan Pakatan Harapan memerintah, namun mereka yang terlibat juga perlu menjadikan saman sebelum ini sebagai pengajaran untuk tidak mengulanginya.
Namun, Awang lega dengan jaminan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang menegaskan operasi kamera dan saman AES akan diambil alih sepenuhnya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mulai 1 September ini dan ia akan dilakukan secara tegas.
Langkah itu adalah tepat dan diharapkan selepas ini kalau ada mana-mana saman berkaitan trafik sama ada yang dikeluarkan JPJ mahupun polis trafik, tidak perlulah lagi `ia berakhir’ dengan diskaun atau dibatalkan.
Ini bagi mengelakkan pengguna jalan raya menganggap saman trafik sekadar sehelai kertas sahaja yang tiada apa-apa kesan apatah lagi memberi pengajaran kepada mereka.
AWANG – Pemandu berhemah.











