SAUDARA PENGARANG, LGBT adalah singkatan untuk lesbian, gay, biseksual dan transgender. Lesbian, gay dan biseksual berkait dengan orientasi hubungan seks manakala transgender pula berkait dengan orientasi penampilan.
Orientasi hubungan seks lesbian dan gay juga dikenali sebagai homoseksual iaitu melakukan hubungan seks dengan jantina yang sama. Bagi lesbian, ia adalah wanita mengadakan hubungan sesama wanita dan bagi gay, hubungan antara lelaki dan lelaki.
Istilah bagi mereka yang mengadakan hubungan seks antara lelaki dan wanita sebagaimana kebiasaannya dikenali sebagai heteroseksual. Biseksual pula adalah mereka yang mengamalkan hubungan seks homoseksual dan juga heteroseksual.
Transgender merujuk kepada mereka yang mempunyai penampilan yang berbeza daripada jantina mereka. Misalnya wanita yang berketrampilan lelaki dan lelaki yang berketrampilan perempuan.
Ketrampilan ini termasuklah cara berpakaian, peranan sosial, peribadi dan perilaku.
Ketrampilan mereka tidak menggambarkan orientasi hubungan seks. Transgender bukan membawa maksud orientasi hubungan seks.
Masalah kesihatan yang lebih kerap dihadapi oleh golongan LGBT ini termasuklah penyakit kelamin, mental dan kanser.
Golongan LGBT yang dikaitkan dengan risiko mendapat masalah mental disebabkan oleh stigma dalam masyarakat.
Antara masalah mental yang dihadapi adalah kemurungan, stres, mencederakan diri sendiri dan ada yang sehingga membunuh diri atau cubaan untuk membunuh diri.
Rentetan daripada masalah kesihatan mental yang dihadapi, mereka terdorong untuk terlibat dengan gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok, mengambil dadah dan meminum alkohol secara berlebihan.
Penyakit kelamin dan gaya hidup yang tidak sihat meningkatkan risiko untuk mendapat kanser.
Kecelaruan identiti jantina dan seksual tidak berlaku dengan tiba-tiba.
DR. ANISAH BAHAROM
Pensyarah Perubatan Kanan Universiti Putra Malaysia











