HANGZHOU – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tiba di sini, Jumaat untuk memulakan lawatan rasmi lima hari di China bertujuan untuk memperkukuhkan lagi hubungan 44 tahun antara Kuala Lumpur dan Beijing.
Hangzhou ialah tempat pertama dilawati dengan Perdana Menteri juga akan turut melawat Beijing, ibu negara China.
Pesawat yang membawa pemimpin Malaysia itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Hangzhou Xiaoshan pada kira-kira pukul 9.05 malam (sama waktu di Malaysia).
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Zainuddin Yahya berada di lapangan terbang untuk menyambut ketibaan Mahathir yang diiringi isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.
Mahathir sekali lagi melakukan lawatan rasmi ke China sebagai Perdana Menteri selepas tempoh kira-kira 17 tahun iaitu kali terakhir melakukan lawatan rasmi ke negara ini pada Oktober 2001.
Sepanjang pertama kali menjadi Perdana Menteri dari 1981 hingga 2003, Mahathir melawat China sebanyak tujuh kali dan sembilan kali lagi selepas beliau bersara. – Bernama











