BACHOK 17 Ogos – Jabatan Kesihatan negeri menganggap isu kritikan Dr. Nur Ilyani Mohamed Nawi terhadap anak Perdana Menteri, Datin Paduka Marina Mahathir berhubung hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) telah selesai.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Zaini Hussin berkata, pihaknya berharap pegawai perubatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) akan lebih tenang dan fokus untuk melaksanakan tugasnya selepas ini.
Beliau berkata, warganet sepatutnya lebih bertanggungjawab mengunakan aplikasi media sosial sebelum menularkan berita yang tidak benar seperti dakwaan kononnya Dr. Nur Ilyani dalam tempoh 24 jam.
“Kenyataan Ketua Pengarah dan Menteri Kesihatan sudah memberi jawapan yang tepat, telus dan muktamad untuk menjawab pelbagai andaian dan sangkaan warganet sebelum ini.
“Saya harap masyarakat boleh menerima penerangan dari Kementerian Kesihatan dan tidak akan berlaku lagi penularan berita yang tidak benar selepas ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Tanpa Tembakau, di Pantai Irama, dekat sini, hari ini.
Sambutan itu dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Hilmi Abdullah.
Dr. Zaini berkata, apa yang berlaku sebelum ini bukan sahaja menjejaskan kredebiliti kesahihan berita malah menjejaskan tumpuan Dr. Nur Ilyani untuk menumpukan perhatian terhadap tugas hakikinya. – UTUSAN ONLINE











