Pemandu bas RapidKL positif dadah - Utusan Malaysia

Pemandu bas RapidKL positif dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Pemandu bas Rapid KL yang terlibat dalam kejadian rempuhan sekurang-kurangnya tujuh buah kereta di Jalan Ampang, di sini, malam tadi didapati positif dadah. 

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, siasatan awal yang dilakukan mendapati pemuda berusia 32 tahun tersebut positif dadah jenis syabu.

“Kes masih dalam siasatan dan pemeriksaan yang dilakukan ke atas lelaki berkenaan mendapati dia memandu ketika berada di bawah pengaruh dadah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kes ini turut disiasat oleh Ibu Pejabat Polis Derah Ampang Jaya di bawah Kontinjen Selangor kerana kes pertama berlaku di kawasan Ampang sebelum masuk di kawasan ibu negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Operasi Khas Rondaan Cegah Jenayah-Pelatih Pusat Latihan Polis (Pulapol) dan Perasmian Pondok Bit Polis Bantuan di KLCC, di sini, hari ini.

Tambah Mazlan, pihaknya akan menyemak sama ada pemandu bas tersebut turut memiliki rekod jenayah lampau melibatkan dadah.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam semalam, sekurang-kurangnya empat cedera selepas tujuh buah kereta dilanggar oleh sebuah bas Rapid KL yang dalam perjalanan dari Datuk Keramat menghala ke Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Dalam satu klip video berdurasi 1 minit 40 saat yang tular malam tadi memaparkan bas berkenaan dipandu secara laju dan bahaya sambil dikejar oleh beberapa orang penunggang motosikal.

Penunggang motosikal didengari memaki hamun pemandu bas berkenaan yang didakwa melanggar ibunya, sebelum pemandu bas terbabit melarikan diri apabila kenderaan itu tidak bergerak selepas merempuh beberapa buah kenderaan lain. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN