KUALA LUMPUR 17 Ogos – Pelawak terkenal, Achey yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-32 hari ini dikejutkan dengan pemberian hadiah paling istimewa daripada isterinya, Nor Hasanah Yahya atau Anne.
Menerusi entri yang dimuat naik di laman Instagram miliknya, Achey atau nama Mohd. Nasir Hamzah berkongsi video memaparkan hadiah yang diberikan oleh sehingga mengundang rasa sebak dalam kalangan warganet yang menontonnya.
“Jujurnya, saya langsung tak ingat mengenai sambutan hari jadi yang jatuh pada tanggal semalam kerana sibuk menguruskan banyak perkara.
“Apabila pulang ke rumah dan melihat ada sesuatu yang ditutup dengan tudung saji di atas meja makan, barulah saya sedar ada kejutan yang menanti.
“Namun, saya langsung tak terfikir Anne meletakkan anak kami, Tiara di bawah tudung saji itu,” katanya berkongsi cerita.
Dalam video itu, Anne mengejutkan suaminya dengan meletakkan anak angkat mereka, Nur Tiara Zinnirah Nasir di atas meja dengan ditutupi tudung saji berserta nota berbunyi, “Happy birthday ayah.”
“Simple (ringkas) tetapi nilainya sangat tinggi. Terima kasih @anne_achey,” ujar Achey.
Justeru, tindakan Anne itu secara tidak langsung membuatkan air mata peserta Super Spontan Xtravaganza 2018 itu mengalir, lantas mendapat pelbagai reaksi pengikut kedua-dua suami isteri tersebut.
Malah, di ruangan komen, rata-rata peminat kedua-dua suami isteri itu turut berasa sebak melihat aksi ‘manis’ pasangan berkenaan dan mendoakan mereka dikurniakan zuriat sendiri suatu hari nanti. – UTUSAN ONLINE











