KUALA LUMPUR 17 Ogos – MCA ‘terkejut’ tindakan Kementerian Pengangkutan tidak menghapuskan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sebaliknya mahu meneruskan sistem tersebut di bawah seliaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mulai 1 September .
Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong mendakwa, PKR dan DAP selama ini mahu AES dihapuskan kerana berpendapat sistem berkenaan kejam dan menjadi alat oleh kerajaan Barisan Nasional untuk mendapatkan wang dari rakyat.
“Oleh kerana itu saya terperanjat apabila kerajaan Pakatan Harapan mahu meneruskan sistem AES malah berkata tiada lagi diskaun terhadap saman AES seperti yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional. Mana lebih kejam?
“Lim Guan Eng juga terkenal kerana melarang AES dipasang di Pulau Pinang dan mendesak sistem itu dihapuskan dan mendesak semua denda yang telah dibayar dipulangkan,” kata Ka Siong dalam satu kenyataan hari ini.
Ka Siong juga berkata, jika kerajaan berhasrat membatalkan saman AES mereka perlu adil dengan memulangkan semula bayaran denda yang telah dilunaskan oleh pesalah AES yang lain sejak 2012.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook hari ini mengumumkan 3.1 juta saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang belum berbayar dibatalkan oleh kerajaan.
Menurut Anthony, pembatalan itu dilakukan selepas kontrak syarikat pengendali sistem AES yang akan tamat pada 31 Ogos ini tidak disambung kerajaan.
Bagaimanapun operasi kamera dan saman AES akan diambil alih sepenuhnya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mulai 1 September depan.
Anthony berkata, penguatkuasaan akan dilakukan dengan tegas tanpa sebarang diskaun.-UTUSAN ONLINE











