Rakyat tidak puas hati pentadbiran kerajaan PH? - Utusan Malaysia

Rakyat tidak puas hati pentadbiran kerajaan PH?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Ogos – Timbul tanda tanya berkenaan sokongan terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas 100 hari mengambil alih pentadbiran negara sejak 9 Mei lalu.

Ini berikutan beberapa pengundian awam yang dilakukan menerusi platform laman sosial Facebook oleh beberapa halaman menunjukkan lebih 80 peratus yang mengundi memilih tidak berpuas hati.

Antara yang menarik perhatian ialah akaun Facebook Kelab Maya Mahathir yang menunjukkan daripada lebih 54,000 pengundi, 88 peratus memilih kurang berpuas hati dengan pentadbiran 100 hari kerajaan PH

Memuatkan artikel berkaitan…

Akaun Facebook Otai Bersih pula menyaksikan 80 peratus daripada hampir 39,000 pengundi memilih tidak berpuas hati dengan prestasi semasa kerajaan.

Selain itu, akaun Facebook portal The Malaysian Insight yang dilihat cenderung kepada kepemimpinan PH juga memperlihatkan pola pengundian yang tidak berpihak kepada kerajaan.

Daripada 53,000 yang mengundi, 67 peratus tidak gembira dengan prestasi 100 hari kerajaan dan percaya lebih banyak kajian perlu dilakukan terlebih dahulu untuk melihat sama ada segala janji boleh dilaksanakan.

Facebook Suara Rakyat pula, meskipun masih belum tamat tempoh pengundian, namun setakat pukul 4.30 petang, 79 peratus daripada hampir 47,000 pengundi memilih tidak berpuas hati.

Akaun Facebook The Patriots, yang lebih dikenali sebagai laman `ilmu pengetahuan’ kerana perkongsian pelbagai maklumat berguna berkaitan, sejarah, ekonomi, politik dan sebagainya turut tidak ketinggalan melakukan pengundian bersempena 100 hari pentadbiran kerajaan PH.

Walaupun tempoh pengundian masih berbaki enam hari lagi, namun setakat hari ini, 89 peratus daripada 42,000 telah memilih tidak berpuas hati dengan 100 hari Malaysia baharu.

Dalam pada itu, hasil pengundian di akaun Facebook Tentera Troll Kebangsaan Malaysia yang merupakan laman `mempersendakan’ ahli politik menunjukkan hanya 10 peratus yang sangat berpuas hati manakala 90 peratus lagi memilih sangat tidak berpuas hati dengan pentadbiran 100 hari kerajaan. 

Meskipun hanya merupakan undian di laman sosial tetapi sedikit sebanyak memberi gambaran wujud penolakan dan rasa tidak berpuas hati terhadap pentadbiran kerajaan PH pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini.

Rasa tidak puas hati itu mungkin disebabkan oleh beberapa keputusan dibuat oleh kerajaan dan kenyataan oleh Menteri Kabinet yang dilihat tidak sewajarnya sejak mengambil alih pentadbiran daripada Barisan Nasional (BN). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN