KUALA LUMPUR 17 Ogos – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan Sekretariat Himpunan Ulama Asia (Shura) menyatakan pendirian solidariti dengan Turki yang sedang berdepan kejatuhan mata wang Lira sebagai akibat sanksi yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS).
Presiden Mapim, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, dalam keadaan terdesak ini, semua negara Islam dan institusi kewangan mereka sepatutnya bersatu dan menghulurkan bantuan untuk Turki bertahan dengan tekanan AS.
“Kami tahu dan faham kenapa dan siapa yang mendalangi serangan dan sabotaj ke atas ekonomi Turki. Turki adalah negara Islam yang diharap oleh banyak negara yang lain untuk menentang hegemoni AS, Zionis Israel dan kuasa imperialis Barat yang lain.
“Turki telah menunjukkan sikap yang tegas dan berani terhadap beberapa negara Arab yang memalukan yang kini semakin tunduk kepada Israel. Serangan yang sengaja ke atas mata wang Lira adalah percubaan AS untuk mengganggu dan meruntuhkan ekonomi Turki sekaligus mengharapkan berlaku perubahan politik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











