KUALA LUMPUR 17 Ogos – Sebagai alternatif kepada orang Melayu pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), sebuah parti baharu ditubuhkan bagi memperjuangkan kepentingan kaum tersebut dan agama Islam.
Parti yang dinamakan sebagai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) ditubuhkan selepas mengadakan pertemuan dengan rakyat khususnya golongan belia sejak sebulan lalu untuk mendengar luahan mereka selepas PRU-14 berlangsung.
Menurut Presiden Penajanya, Datuk Ibrahim Ali penubuhan parti adalah membawa perjuangan sendiri yang berlandaskan kepada menjaga kepentingan orang Melayu dan agama Islam.
“Kita tidak akan bersekongkol dengan parti-parti lain termasuk parti yang memerintah negara sekarang.
“Kita mahu berikan alternatif kepada orang Melayu supaya mereka boleh memilih parti yang bersih, berintegriti, tidak retorik dan tidak hipokrit,” katanya dalam satu sidang akhbar yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, hari ini.
Turut hadir dalam sidang akhbar itu adalah Tan Sri Khalid Yunus yang dilantik sebagai Timbalan Presiden Penaja.
Tambah beliau, pihaknya sudah menghantar permohonan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) semalam untuk menubuhkan parti tersebut.
Dalam pada itu, Ibrahim turut menekankan beberapa agenda utama dalam penubuhan Putra seperti pengagihan ekonomi yang adil, sistem pendidikan satu aliran serta menjaga maruah dan kepentingan orang Melayu untuk bertanding dalam PRU akan datang.
Walau bagaimanapun, menurut beliau, parti berkenaan tidak akan memecah-belahkan orang Melayu sebaliknya akan mencari titik penyatuan untuk memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam.
“Iklim politik hari ini berbeza, soal perpecahan orang Melayu sekarang berpunca daripada siapa? Siapa yang amalkan rasuah dan penyelewengan?
“Rasuah dan penyelewengan menyebabkan rakyat tidak berpuas hati dan akhirnya mereka berpaling daripada parti yang disokong selama ini.
“Jadi, jangan bagi ahli kecil hati dengan isu-isu sedemikian terutama golongan muda yang kini sedang memikirkan masa hadapan mereka,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











