Rapid Bus tubuh pasukan khas urus tuntutan insurans - Utusan Malaysia

Rapid Bus tubuh pasukan khas urus tuntutan insurans

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Ogos – Rapid Bus Sdn. Bhd. (Rapid Bus) menubuhkan pasukan khas bagi mengendalikan tuntutan insurans susulan insiden membabitkan bas Rapid KL di AU2 Keramat, di sini malam tadi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Azam Omar berkata, pemilik kenderaan yang berhasrat untuk mengemukakan tuntutan boleh berbuat demikian beserta dokumen berkaitan melalui emel di alamat [email protected].

Mengulas mengenai kejadian itu, beliau berkata, bas yang terbabit dalam insiden berkenaan disahkan dalam keadaan baik semasa digunakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, berdasarkan kepada laporan polis yang dibuat malam tadi, insiden bermula apabila bas tersebut terlibat dalam satu kemalangan kecil di Jalan Enggang AU2, Taman Keramat.

“Kapten bas dilaporkan meneruskan perjalanan sambil dikejar oleh sekumpulan orang awam.

“Semasa dikejar, bas tersebut dilaporkan melanggar beberapa kenderaan di sepanjang jalan sehingga tiba di susur keluar Jalan Ampang ke Lebuhraya Lingkaran Tengah Dua (MRR2) yang mana kapten bas dilaporkan dipukul oleh beberapa orang awam,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Azam berkata, pihaknya kesal dengan insiden itu dan sedang bekerjasama sepenuhnya dengan polis yang menyiasat kejadian tersebut.

“Orang ramai diharap tidak membuat sebarang spekulasi sementara menunggu keputusan siasatan rasmi polis,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN