SHAH ALAM 17 Ogos – Baru-baru ini, tular di portal berita apabila Wani Kayrie, 18, menghadiahkan ibunya, Kay Sabah sebuah kereta jenama Honda BRV bersempena ulang tahun kelahiran ke-40 wanita itu yang jatuh pada Ahad lalu.
Mengakui mula menabung sejak kecil untuk menunaikan keinginannya itu, bagaimanapun keluhuran anak gadis berkenaan memberikan hadiah tersebut disalah anggap oleh segelintir pihak yang mempersoalkan keikhlasannya.
“Ikutkan saya malas hendak memberi sebarang komen terhadap kritikan itu. Mereka bebas membuat sebarang penilaian.
“Saya menunjuk-nunjuk atau tidak, biarlah ibu dan Allah sahaja tahu mengetahui niat saya yang sebenarnya,” komennya ringkas.
Terdahulu, peserta Big Stage 2018 (BS 2018) itu dan adik-beradiknya telah membuat kejutan tersebut ketika mahu meraikan sambutan ulang tahun di sebuah restoran.
Sebelum itu, mereka singgah di sebuah bilik pameran menjual kereta dengan alasan sengaja ingin melihat-lihat.
Bagaimanapun, ibu Wani tergamam apabila jurujual di pusat penjualan itu menyerahkan kunci kereta berkenaan sebagai hadiah hari jadinya.
“Saya adalah anak sulung dan sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk membeli kereta buat kegunaan keluarga.
“Ibu cuma terkejut kerana tak menjangka bakal memperoleh hadiah itu pada hari ulang tahun kelahirannya,” cerita Wani.
Sementara itu, meneruskan saingan di pentas BS 2018, Wani bakal bergandingan dengan Hael Husaini menyampaikan lagu Sampai Bila dendangan asal Misha Omar. – UTUSAN ONLINE











