KUALA LUMPUR 17 Ogos – Polis menafikan dakwaan kononnya pemandu bas yang melanggar tujuh buah kenderaan di Jalan Ampang, dekat sini, malam tadi meninggal dunia akibat dibelasah orang ramai sejurus selepas kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, suspek yang dirawat di Hospital Ampang akibat kecederaan di kepala dijangka dibenarkan pulang pada pukul 3 petang ini.
“Dalam kes ini, pihak polis akan menjalankan siasatan lain sekiranya pemandu tersebut membuat laporan yang dia dipukul oleh orang ramai,” katanya di sini hari ini.
Zulkefly turut memaklumkan, tiada penumpang yang tercedera dalam kejadian tersebut memandangkan kenderaan itu dipandu berseorangan. – UTUSAN ONLINE











