Pengurus syarikat didakwa halang tugas pegawai SPRM - Utusan Malaysia

Pengurus syarikat didakwa halang tugas pegawai SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Seorang pengurus sebuah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menghalang penjawat awam bertugas, Jun lalu. 

Tertuduh, Mohd. Hazmi Abdul Halim, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Junaidah Mohd. Isa. 

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mengganggu, menakutkan dan mengancam pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan dengan menggunakan ‘stering lock’ sebagai senjata ketika pemeriksaan ingin dijalankan ke atas kenderaannya jenis Mitshubishi Triton. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Perbuatan itu dilakukan lelaki terbabit di tempat letak kenderaan di hadapan Sekolah Sri Seremban di sini pada pukul 12.15 tengah hari, 3 Jun lalu. 

Pegawai Pendakwa SPRM, Karmila Mokhtar mengemukakan pendakwaan mengikut Seksyen 48(h) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya jika sabit bersalah.

Tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin selepas peguamnya, Jamal Abas mengemukakan rayuan agar jumlah ikat jamin asal iaitu RM8,000 dikurangkan.

Selain itu, mahkamah turut mengenakan syarat tambahan agar tertuduh tidak mengganggu pengadu kes berkenaan.

Junaidah kemudian menetapkan 25 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN