ALOR SETAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah merampas sebanyak 20,000 liter diesel dianggarkan bernilai RM40,000 dalam serbuan di sebuah stor di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam dekat sini hari ini.
Serbuan kira-kira pukul 5.30 petang ini itu dilakukan lapan anggota penguat kuasa selepas membuat intipan ke atas stor haram tersebut sejak dua minggu lalu.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa negeri, Chin Ching Chung berkata, pemeriksaan lanjut menemui sebuah lori tangki dan tangki berisi diesel serta tiga lelaki yang merupakan pekerja di stor tersebut.
“Stor ini dipercayai dijadikan tempat untuk menyimpan diesel sebelum barang kawalan itu diseludup ke Thailand,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata beliau, stor itu disyaki beroperasi tanpa lesen yang sah untuk menyimpan bekalan diesel tersebut.
“Kita bertindak menyita 20,000 liter diesel bernilai kira-kira RM40,000 dan lori tangki RM30,000,” ujarnya.
Tambahnya, tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an itu ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. – K! ONLINE











