LONDON – Ketua Pegawai Eksekutif IndyCar, Mark Miles mendedahkan bahawa belum ada sebarang kata putus dibuat mengenai penyertaan juara dunia Formula Satu (F1) sebanyak dua kali, Fernando Alonso ke arena sukan permotoran tersebut.
Kelmarin, berita mengenai persaraan Alonso dari litar F1 telah menimbulkan spekulasi bahawa pemandu Sepanyol itu akan beralih arah ke arena IndyCar bagi melengkapkan gelaran Triple Crown miliknya.
Spekulasi itu berdasarkan kejayaan pemandu McLaren itu meraih dua gelaran Grand Prix (GP) Monaco serta perlumbaan 24 Jam Le Mans dan kini hanya tinggal gelaran Indianapolis 500 dalam perlumbaan IndyCar untuk dimenanginya.
Bagaimanapun, Miles menegaskan bahawa tiada sebarang keputusan muktamad dibuat secara rasmi buat masa ini untuk memberi ruang kepada McLaren menyelesaikan beberapa persetujuan di antara mereka terlebih dahulu.
“Peminat perlumbaan IndyCar sudah tentu menantikan pengumuman rasmi mengenai penyertaan Alonso dalam sukan ini sepanjang kempen 2019. McLaren kini sedang berusaha menyediakan dokumen-dokumen yang diperlukan.
“Kami di IndyCar menghormati usaha mereka. Saya tidak jangka urusan tersebut akan selesai sehingga akhir musim ini. Ini bermaksud tiada sebarang kata putus akan diumumkan dalam masa terdekat,” ujarnya. – Agensi











