KUALA LUMPUR 16 Ogos – Sidang Dewan Rakyat yang pertama selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 berjaya menempa sejarah tersendiri di mana semua ahli Parlimen telah menunjukkan kematangan masing-masing.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof berkata, ahli-ahli Parlimen telah berjaya menguruskan kepelbagaian yang wujud dalam cara yang tertib dan aman.
“Persidangan ini merupakan yang pertama selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan ia menempa sejarah dalam kancah demokrasi negara kerana peralihan kuasa yang berlaku buat kali pertama dalam keadaan yang penuh aman dan harmoni.
“Ini membuktikan kematangan ahli-ahli Parlimen dalam menguruskan kepelbagaian yang wujud dalam cara yang tertib dan aman,” katanya sebelum menangguhkan sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Sidang yang berlangsung selama 20 hari mulai 16 Julai lalu itu menyaksikan sebanyak sembilan rang undang-undang diluluskan termasuk Rang Undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018, Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 dan Rang Undang-undang Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Pembubaran) 2018.
Turut diluluskan adalah Rang Undang-undang Cukai Jualan 2018, Rang Undang-undang Cukai Perkhidmatan 2018 dan Rang Undang-undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2018.
Dewan Rakyat dijadualkan bersidang semula pada 15 Oktober ini. – UTUSAN ONLINE











