KUALA LUMPUR – Permohonan dan pemberian pek percuma ubat-ubat baru yang berkos tinggi kepada pesakit melalui Patient Access Scheme (PASc) ditangguhkan buat sementara waktu sehingga mendapat ulasan daripada Jabatan Audit Negara, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Nor Hisham Abdullah.
PASc adalah skim yang ditawarkan oleh syarikat farmaseutikal kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menambah baik akses ubat kepada pesakit terutamanya bagi ubatan yang mahal.
“Pemberian pek percuma ini dikhuatiri melanggar etika dan menimbulkan isu integriti memandangkan pemberian pek percuma ini tidak dinyatakan secara terperinci dalam rekod pembelian antara pihak syarikat farmaseutikal dan fasiliti KKM.
“Perkara ini perlu diteliti bersama dengan pihak berwajib,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nor Hisham berkata, garis panduan permohonan melaksanakan PASc di KKM telah disediakan pada 1 Jun 2018 bertujuan untuk menerangkan proses permohonan, penilaian dan kelulusan PASc di fasiliti KKM.
“Garis panduan ini bertujuan untuk menyeragamkan proses permohonan melaksanakan PASc agar ianya telus dan memastikan kertas cadangan PASc oleh syarikat farmaseutikal memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan,” katanya. – Bernama











