KUALA LUMPUR 16 Ogos – Sidang Dewan Rakyat meluluskan usul untuk Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) membuka semula siasatan ke atas skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Usul tersebut diluluskan setelah dibacakan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan dibahaskan oleh lima ahli Parlimen kerajaan serta pembangkang di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof.
Guan Eng berkata, penyiasatan semula itu perlu dilakukan bagi mengembalikan semula maruah Dewan Rakyat.
“Saya mencadangan bahawa Dewan Rakyat mengambil ketetapan supaya ketua audit negara dan PAC menyiasat semula penyelewengan dan skandal 1MDB dan syarikat-syarikat berkaitan supaya maruah Dewan ini dapat dipulihkan dan segala maklumat berkaitan harus didedahkan kepada umum,” katanya ketika membentangkan usul tersebut dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini. – UTUSAN ONLINE











