Akta Penubuhan Mara 1966 tidak akan diubah - Utusan Malaysia

Akta Penubuhan Mara 1966 tidak akan diubah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Akta Parlimen 1966 berhubung penubuhan Majlis Amanah Rakyat (Mara) tidak akan diubah dan Mara akan kekal sebagai satu entiti, kata Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd. Redzuan Md Yusof. 

Beliau berkata, isu Mara dijangka dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet esok atau selewat-lewatnya selepas sambutan Aidiladha.

“Mara masih di peringkat perbincangan supaya ia distruktur oleh kementerian spesifik yang diberikan mandat untuk melaksanakan ekosistemnya. Jangan kata saya hendak (Mara di bawah kementerian saya) pula. Jangan kata kami (kementerian saya) mengambil pemilikan (Mara),” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat pertama Jawatankuasa Perundingan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana di Kementerian Pembangunan Usahawan di sini hari ini. 

Mara ditubuhkan pada 1 Mac 1966 di bawah Akta Parlimen sebagai badan berkanun hasil resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera pertama pada 1965.

Sebelum ini terdapat dakwaan dan spekulasi yang disebar secara meluas di media sosial kononnya Mara akan dibubar atau dipecah-pecahkan sebelum diserap ke dalam pelbagai kementerian. Turut disebarkan ialah dakwaan bahawa Maktab Rendah Sains Mara  akan dibuka kepada pelajar bukan Melayu.  

Baru-baru ini Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan anggota Jemaah Menteri supaya berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai Mara. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN