Lawatan PM ke China perteguh hubungan strategik - Utusan Malaysia

Lawatan PM ke China perteguh hubungan strategik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Lawatan rasmi lima hari Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ke China akan melakar sejarah baharu dalam penyatuan hubungan dua hala antara kedua-dua negara, kata Kementerian Luar hari ini.

Kenyataan Wisma Putra menyebut lawatan itu akan menyediakan tonggak strategik baharu dalam mencergaskan kerjasama di masa depan antara kedua-dua negara, terutamanya dalam bidang politik, perdagangan, pelaburan, pertanian, teknologi dan keselamatan serantau.

“Malaysia dan China akan terus mengekalkan hubungan dua hala yang akrab dan menyeluruh,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra berkata, lawatan rasmi itu, yang bermula esok sehingga 21 Ogos adalah atas undangan Perdana Menteri China,  Li Keqiang.

Mahathir akan diiringi isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Turut mengiringi beliau ialah Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Perusahaan Utama, Teresa Kok Suh Sim; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ignatius Darell Leiking; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Liew Vui Keong; Menteri Pembangunan Usahawan Mohd. Redzuan Md. Yusof; dan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.

Wisma Putra berkata, ini adalah lawatan sulung Mahathir ke China selepas mengangkat sumpah jawatan pada Mei 2018. 

Perdana Menteri melawat China tujuh kali sepanjang tempoh penggal beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia keempat dari 1981 hingga 2003, kata kenyataan itu.

Wisma Putra berkata  Mahathir akan mengunjungi Hangzhou di mana beliau dijadual bertemu pemimpin wilayah, melawat ke ibu pejabat korporat Alibaba Group dan Zhejiang Geely Holding Group. 

Di Beijing, perdana menteri akan  bertemu masing-masing Perdana Menteri,  Li Keqiang dan Presiden Xi Jinping untuk membincangkan isu dua hala di samping isu serantau serta antarabangsa membabitkan kepentingan bersama. – Bernama

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×