KUALA LUMPUR 16 Ogos – Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 dalam sidang hari ini.
Rang undang-undang tersebut diluluskan selepas bacaan kali ketiga dibacakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin.
Beliau berkata, rang undang-undang berkenaan yang digubal ketika Barisan Nasional (BN) memerintah dikhuatiri akan menyebabkan ada pemimpin yang menjadi mangsa pendakwaan politik.
“Memang tidak ada pendakwaan atas tujuan politik sebab akta ini baru beberapa bulan sahaja, bayangkan kalau BN menang pilihan raya akan ada yang menjadi mangsa pendakwaan politik.
“Ahli Parlimen Langkawi ada disiasat di bawah akta ini, katalah BN menang kemungkinan Tun Dr. Mahathir Mohamad akan didakwa kerana penyiasatan akan mempunyai kaitan dengan politik,” katanya ketika menggulung perbahasan rang undang-undang tersebut. – UTUSAN ONLINE











