Terengganu mula tanggung caj wad kelas tiga tahun depan - Utusan Malaysia

Terengganu mula tanggung caj wad kelas tiga tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 16 Ogos – Caj wad kelas tiga di semua hospital kerajaan yang bakal ditanggung oleh kerajaan negeri sebagaimana yang dijanjikan oleh Pas Terengganu dalam manifesto hanya akan mula dilaksanakan tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak, berkata, pada masa ini perbincangan kerajaan negeri dengan Kementerian Kesihatan masih berjalan untuk mencari kaedah yang terbaik.

Katanya, dengan memberikan perkhidmatan percuma itu, kerajaan negeri dijangka akan membayar kepada kementerian kira-kira RM4 juta setahun berdasarkan dengan jumlah katil yang ada sebanyak 1,400 unit.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Peruntukan bagi pembayaran akan dimasukkan dalam pembentangan Bajet pada November depan untuk diluluskan bagi pelaksanaan kelak.

“Kerajaan negeri tidak dapat melaksanakannya tahun ini kerana tiada peruntukan,” katanya selepas merasmikan Hari Terbuka Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini. Yang turut hadir, Pengarah HSNZ, Dr. Nor Azimi Yunus.

Caj rawatan percuma pesakit kelas 3 adalah satu daripada 20 perkara yang dijanjikan oleh dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) secara berperingkat-peringkat.

Pada masa ini pihak hospital cuma mengenakan caj minimum RM3 sehari kepada setiap pesakit di wad berkenaan.

Sementara itu beliau memberitahu, kesesakan yang berlaku di HSNZ dalam mengendalikan pesakit akan dapat dikurangkan apabila proses pembinaan tiga hospital baharu siap kelak.

Katanya, hospital terbabit ialah Hospital Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Kuala Nerus dan Hospital Dungun yang dalam pembinaan manakala Hospital Kemaman kini dalam proses kerja-kerja tanah.

“Saya yakin dengan siapnya ketiga-tiga hospital itu nanti yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan, pesakit di daerah berkenaan tidak perlu lagi ke HSNZ bagi mendapat rawatan khusus, ‘’ ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN