CYBERJAYA 16 Ogos – Pembinaan lebih banyak bandar baharu adalah antara penyelesaian peningkatan permintaan rumah mampu milik yang dijangka mendadak menjelang 2030.
Timbalan Ketua Setiausaha Dasar Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dr. Mary Wong Lai Lin berkata, jangkaan itu dibuat berikutan laporan menunjukkan tempoh 12 tahun lagi hampir dua pertiga penduduk negara ini tinggal di bandar.
“Permintaan untuk rumah mampu milik akan meningkat dengan kadar pembentukan isi rumah baharu yang ramai menyebabkan masyarakat tidak mampu untuk memiliki rumah ekoran kenaikan harga rumah,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Perumahan Jangka Hadapan bertemakan: Agenda Bandar Baharu, anjuran Universiti Limkokwing.
Persidangan itu membincangkan kemajuan mencapai akses kepada perumahan yang berpatutan dan layak untuk semua melalui pelaksanaan Agenda 2030, Agenda Bandar Baharu.
Agenda Bandar Baharu itu adalah satu langkah pembinaan rumah mampan yang dijalankan secara terancang yang dapat memenuhi keperluan pada masa sekarang tanpa menjejaskan keupayaan memenuhi keperluan pada masa hadapan serta ia juga meliputi aspek kelestarian alam sekitar, kemampanan sosial dan ketahanan ekonomi.
Mary berkata, sejak tahun 2012, pertumbuhan harga rumah tahunan telah meningkat melebihi 11 peratus, hampir empat kali ganda berbanding tempoh tahun 2000 dan 2009.
Tambah Mary, pembiayaan bukanlah masalah yang besar di negara ini kerana dasar awam boleh memainkan peranan dengan memberi penyelesaian dalam memajukan agenda perumahan tersebut.
“Adalah penting untuk kita memperbaiki ekosistem sedia ada untuk penyediaan perumahan yang mampu milik bagi memberi respon kepada cabaran semasa dan baru yang akan datang.
“Kita harus ingat bahawa matlamat perumahan yang mampu dimiliki bukan hanya untuk dijadikan harta semata-mata, ia adalah mengenai membina masyarakat yang lebih kuat dan lebih berdaya tahan dalam mengubah cara kehidupan,” ujarnya. Turut hadir Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Fateh Iskandar, Pengurus Negara, PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez, Kumpulan Reka Bentuk Verita, Azif Nasaruddin serta kira-kira 1,200 perwakilan menghadiri dalam persidangan ini.
Kerajaan sebelum ini melaksanakan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), tetapi setakat ini hanya 1.6 peratus atau 16,682 unit rumah sahaja dibina sejak diwujudkan pada tahun 2013, berbanding sejuta unit disasarkan.
Kegagalan itu mewujudkan jurang permintaan yang besar dan memerlukan langkah segera diambil oleh kerajaan untuk mengatasinya. – UTUSAN ONLINE











