PUTRAJAYA 16 Ogos – Anasir-anasir yang boleh mengganggu gugat kestabilan dan kekukuhan hubungan antara penganut agama diharap dapat ditangani menerusi platform Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Agama (JKMPKA).
![]() |
|
P. WAYTHA MOORTHY
|
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy berkata, usaha itu dapat dilakukan melalui penganjuran program dan aktiviti serta mengetengahkan cadangan-cadangan yang berkesan dan seimbang ke arah itu.
Menerusi langkah itu, katanya, beliau amat berharap jalinan hubungan yang sedia terjalin di negara ini diperkukuhkan demi kebaikan bersama untuk mengharmonikan rakyat pelbagai agama.
“Di ambang Malaysia Baharu ini, kita masih melihat dan mengalami pelbagai cabaran terhadap penganut agama yang antara lainnya adalah penghinaan terhadap agama, kedinamikan identiti akibat intra-etnik serta kecelaruan minda.
“Kita juga menghadapi cabaran berbentuk pengaruh budaya kebendaan, pengaruh media sosial yang tiada batasan dan juga pelbagai ancaman yang dapat dilihat dari luar negara yang boleh mengganggu gugat kesejahteraan serta keselamatan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Menteri dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial serta Hal Ehwal Agama Islam) Bersama Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian di Antara Penganut Agama (JKMPKA) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh.
JKMPKA yang ditubuhkan pada 2010 mempunyai peranan dalam mewujudkan, menggalakkan serta memantapkan iklim perhubungan yang utuh dalam kalangan penganut pelbagai agama.
Sementara itu, Waytha Moorthy berkata, ahli JKMPKA perlu sentiasa menjadikan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada sebagai rujukan dalam menangani sebarang isu sensitif yang boleh menggugat keamanan negara.
“Biarlah apabila menangani sebarang isu, kembali kepada sifat nilai-nilai kebersamaan, nilai-nilai agama yang membawa kepada kebaikan bersama, nilai-nilai memupuk masyarakat penyayang yang boleh diraikan bersama,” katanya. – UTUSAN ONLINE












