Perdana Menteri ke Hangzhou dan Beijing esok hingga 21 Ogos - Utusan Malaysia

Perdana Menteri ke Hangzhou dan Beijing esok hingga 21 Ogos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 16 Ogos – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan mengadakan lawatan rasmi ke China bermula esok hingga 21 Ogos ini atas jemputan Perdana Menteri China, Li Keqiang.

Kementerian Luar berkata, Perdana Menteri akan diiringi oleh isterinya Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali.

Turut mengiringi lawatan tersebut ialah Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ignatius Darell Leiking.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Liew Vui Keong; Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd. Redzuan Md. Yusof; Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Menurut kenyataan tersebut, ini lawatan pertama Perdana Menteri ke China sejak menyandang jawatan tersebut pada Mei lalu.

“Perdana Menteri telah mengadakan lawatan ke republik itu sebanyak tujuh kali sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-empat dari tahun 1981 hingga 2003,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Sepanjang lawatan itu, Perdana Menteri akan melawat Hangzhou dan Beijing, di Hangzhou, beliau dijadualkan bertemu dengan pemimpin tempatan serta mengadakan lawatan ke ibu pejabat korporat Kumpulan Alibaba dan Kumpulan Zhejiang Geely Holding.

Sementara di Beijing, Dr. Mahathir akan mengadakan pertemuan dengan Li Keqiang dan Presiden China, Xi Jinping untuk membincangkan isu-isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

“Perdana Menteri dan Li Keqiang akan turut menyaksikan pemeteraian tiga Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai tanda pengukuhan kerjasama strategik di antara Kuala Lumpur dan Beijing. MoU tersebut meliputi kerjasama dalam bidang pertanian dan agrikomoditi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×