Tujuh NGO hantar memorandum mahasiswi UMS hampir dirogol - Utusan Malaysia

Tujuh NGO hantar memorandum mahasiswi UMS hampir dirogol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU – Sebanyak tujuh gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang juga alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan penuntut universiti itu menghantar Memorandum Menuntut Jaminan Keselamatan dalam Kampus UMS di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini hari ini.

Memorandum menggariskan tiga tuntutan yang diserahkan kepada wakil Ketua Menteri Sabah itu merupakan lanjutan daripada kejadian seorang mahasiswi UMS yang hampir dirogol di dalam kawasan kampus pada 15 Julai lalu.

Pengerusi Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis), Kamran Muhamad Bahron berkata, antara tuntutan yang dikemukakan dalam memorandum tersebut adalah penambahbaikan kawalan keselamatan di dalam kampus.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami diberi peluang melakukan pembentangan kira-kira 30 minit terhadap pegawai berkenaan berkaitan tuntutan yang digariskan dalam memorandum.

“Kami melihat aspek keselamatan merupakan isu penting yang perlu diberi perhatian pihak pentadbiran UMS. Ia termasuk kawalan sistem kamera tersembunyi, kemasukan orang luar dari kampus dan penyelarasan jadual kuliah,” katanya di sini hari ini.

Kamran berkata, susulan daripada penyerahan memorandum terhadap kerajaan negeri, NGO juga menuntut mengadakan pertemuan dengan Naib Canselor UMS untuk membincangkan perkara itu secara lebih mendalam.

Katanya, perbincangan bersama pihak pentadbiran UMS digerakkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti yang turut membantu pergerakan NGO.

Dalam pada itu, sebuah perhimpunan solidariti dijangka diadakan di pekarangan mahkamah sebagai tanda sokongan terhadap mangsa tersebut pada 29 Ogos ini.

Pada 15 Julai lalu, seorang penuntut wanita UMS hampir dirogol di kolej kediaman mangsa kira-kira pukul 12 malam oleh seorang pengawal keselamatan universiti.

Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 29 Ogos depan sebagai sebutan semula kes selepas tertuduh berusia 26 tahun mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan tersebut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN