KOTA KINABALU – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara selama sembilan tahun dan satu sebatan terhadap seorang pengawal keselamatan yang melakukan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak perempuan.
Hakim Ainul Mohamad Shahrin menetapkan keputusan tersebut terhadap Abu Hurairah Eddie, 28, selepas tertuduh mengaku salah.
Abu Hurairah disabitkan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan penjara selama tempoh 20 tahun dan sebatan.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh mencium pipi kiri kanak-kanak berusia 11 tahun di sebuah tandas, pondok pengawal Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah Putatan pada pukul 6.30 pagi, 13 Julai lalu.
Semasa insiden mangsa berjalan seorang diri melalui pintu pagar pondok pengawal keselamatan JKR Putatan sebelum dipanggil suspek.
Mangsa yang tidak mengesyaki apa- apa terus mendekati suspek yang pada ketika itu berada di hadapan tandas.
Suspek kemudiannya, bertanya siapakah ayah mangsa, mangsa hanya berdiam diri lalu tangannya ditarik dan dibawa masuk ke dalam tandas.
Mangsa mengelak dan berteriak meminta tolong tetapi tiada siapa mendengar dan suspek menyuruh mangsa diam dan menyatakan akan memberikan wang.
Tidak lama selepas itu, mangsa berjaya melepaskan diri dan berlari ke rumah dan segera menceritakan kejadian tersebut kepada ibunya.
Sehubungan itu, bagi pertuduhan terbabit mahkamah menetapkan hukuman penjara selama sembilan tahun dan satu sebatan.
Pada prosiding berkenaan, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Rustam Sanip manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam. – K! ONLINE











