Pulihkan perniagaan untuk kekalkan subsidi haji - Utusan Malaysia

Pulihkan perniagaan untuk kekalkan subsidi haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH 16 Ogos – Kerajaan akan cuba mengekalkan subsidi haji, namun tidak menolak kemungkinan ia akan dinilai semula bagi musim haji tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof berkata, bahagian perniagaan Tabung Haji sedang melalui proses pemulihan supaya dapat meneroka bidang perniagaan baharu agar dapat menampung subsidi yang diberikan selama ini.

Tegasnya, Tabung Haji tetap berpegang kepada teras penubuhannya untuk memberi perkhidmatan kepada jemaah dan berharap dapat meningkatkan prestasinya bagi membolehkan subsidi lebih RM12,000 yang diberikan kepada setiap jemaah diteruskan walaupun jumlahnya tinggi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ta­bung Haji menanggung subsidi sebanyak RM12,470 bagi setiap jemaah untuk me­ngekalkan bayaran menunaikan ibadah haji jemaah muassasah kali pertama sebanyak RM9,980 sejak 2009.

“Pun begitu, jumlah RM12,000 adalah lebih tinggi daripada jumlah RM9,980 yang dibayar jemaah.

“Saya doakan bahagian perniagaan dapat barokah dan menambah perniagaan, dengan itu dapat bantu orang kampung. Ini tidak dapat dibuat jika tiada satu usaha oleh bahagian perniagaan untuk tampung (subsidi), melainkan rakyat Malaysia sudah mampu, sudah kaya, ketika itu barulah boleh fikir bagaimana untuk kurangkan subsidi kepada mereka. Buat masa ini ia kekal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas lawatan ke Ibu Pejabat Tabung Haji di Abraj Al Janadriyah di sini.

Kepada soalan seterusnya sama ada kenyataan ‘buat masa ini ia kekal’ itu meliputi subsidi bagi musim haji tahun depan katanya: “Setakat ini terdedah kepada penilaian semula…kita akan lihat dari masa ke semasa.”

Menteri itu juga berharap sebarang penambahbaikan dilakukan Tabung Haji tidak akan melibatkan kos tinggi supaya dapat menyerap jumlah subsidi berkenaan sebaik mungkin.

Justeru katanya, kerajaan berharap bahagian perniagaan Tabung Haji yang baru-baru ini membuat lantikan baharu ketua pegawai eksekutif serta seterusnya lembaga pengarahnya, dapat meningkatkan prestasi bahagian itu.

“Sebab itu dalam bahagian perniagaan kena betul-betul amanah, supaya bila dapat keuntungan kita dapat kembalikan kepada mereka (penyimpan). Bukannya masuk poket orang yang ada kepentingan sendiri,” katanya.

Mujahid juga tidak mahu kos pengurusan haji dilonggokkan kesemuanya kepada Tabung Haji, sebaliknya beliau minta syarikat-syarikat besar lain turut menyumbang menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) masing-masing.

“Mungkin bukan hanya ambulans, tetapi selepas ini beri alat-alat pembedahan yang agak mahal,” katanya.

Beliau dalam pada itu mengakui hubungan baik dengan Muassasah Asia Tenggara dan kerajaan Arab Saudi amat penting kerana dengan itu jemaah dan Tabung Haji dapat banyak kemudahan yang negara lain tidak peroleh.

Antaranya kata beliau, adalah program pra pelepasan jemaah, pendingin hawa untuk khemah Arafah, lantai jubin untuk khemah Mina dan terbaharu tempoh melontar khusus untuk jemaah Malaysia serta Asia Tenggara lain iaitu selepas waktu asar.

“Ini kali pertama dapat masa melontar yang sesuai dengan kita. Difahamkan kita minta tiap-tiap tahun tapi tidak dilayan, tapi tahun ini dapat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN