KUALA LUMPUR 16 Ogos – Seorang lelaki dan tiga wanita masing-masing didenda maksimum RM3,000 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membuat promosi pungutan zakat melalui potongan gaji bulanan tanpa sebarang kebenaran daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Hukuman bagi kes pertama unuk Wilayah Persekutuan itu dijatuhkan oleh Hakim Syarie Mohamed Fouzi Mokhtar.
Mereka ialah Mohd. Hisham Dahalan, Waheeda Mohamad, Siti Nurul Hayati Isnin dan Rosilah Othman yang kesemuanya perunding insurans sebuah syarikat insurans.
Berita berkaitan:
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 2.59 petang, 6 Mac lalu di ruang legar tingkat 5 bangunan berkembar Bank Rakyat, Brickfields di sini.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 47 (1) (b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 33 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda RM3,000 atau penjara empat bulan jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE











