Polis berkas samseng pecah kereta depan Balai Polis Pandamaran - Utusan Malaysia

Polis berkas samseng pecah kereta depan Balai Polis Pandamaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Perbuatan samseng seorang lelaki yang memecahkan cermin sebuah kereta menggunakan kon polis dan batu di hadapan Balai Polis Pandamaran membawa padah apabila dia ditahan malam tadi.

Penahanan suspek berusia 24 tahun itu dilakukan pada pukul 8 malam di Petaling Jaya. 

Kejadian itu kemudiannya menjadi tular di laman sosial aplikasi WhatsApp menerusi rakaman video berdurasi 56 saat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada pukul 3.30 petang, 7 Ogos lalu dan mangsa merupakan seorang suri rumah berusia 37 tahun.

Katanya, mangsa yang sedang mengundurkan keretanya telah didatangi suspek dengan menaiki motosikal jenis Yamaha 135 LC berwarna biru memarahi dan menuduh mangsa mahu melanggarnya di tempat letak kenderaan di hadapan Balai Polis Pandamaran.

“Sewaktu berbincang di tempat letak kenderaan hadapan balai polis itu, suspek tiba-tiba telah mengambil satu kon polis dan seketul batu besar sebelum membaling ke arah cermin belakang kereta mangsa sehingga pecah.

“Suspek kemudiannya bertindak melarikan diri sewaktu ingin ditangkap oleh anggota polis yang melihat kejadian itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Sehubungan itu, Shamsul menegaskan usaha mengesan suspek telah dilakukan sebelum pihaknya berjaya memberkasnya di sekitar Petaling Jaya pada pukul 8 malam tadi.

Jelas beliau, pihak polis turut merampas motosikal yang digunakan suspek semasa kejadian tersebut untuk siasatan lanjut.

“Semakan rekod jenayah mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah termasuk dadah.

“Polis kini sedang mendapatkan perintahan tahanan reman terhadap suspek dengan kes kini disiasat mengikut Seksyen 506 dan 427 Kanun Keseksaan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN