TALLINN 16 Ogos – Ketiadaan Cristiano Ronaldo dan Zinedine Zidane menyaksikan Real Madrid seakan bergelut selepas penyandang johan Liga Juara-Juara tiga kali berturut-turut itu kecundang pada masa tambahan kepada musuh tradisi Atletico Madrid 2-4 dalam saingan Piala Super EUFA, hari ini.
Selepas ketinggalan menerusi ledakan gol pembukaan Diego Costa, jaringan Karim Benzema dan Sergio Ramos seakan memberikan Real ‘satu kaki’ untuk menjuarai perlawanan, namun Atletico masih enggan mengangkat bendera putih.
Real, yang dibimbing bekas jurulatih Sepanyol Julen Lopetegui bagaimanapun agak tempang setelah Casemiro terpaksa dikeluarkan ekoran kecederaan pada minit ke-75, sekali gus membolehkan Costa menggandakan jaringannya empat minit kemudian.
Saul Niguez dan Koke meledak gol pada babak pertama masa tambahan, yang akhirnya menyaksikan Atletico berjaya menumpaskan Real di Eropah selepas tewas dua kali di Liga Juara-Juara pada 2014 dan 2016, termasuk disingkirkan oleh seteru rapatnya itu dalam kejohanan tersebut tahun 2015 serta 2017.
Kesemua dia atas menyaksikan Real dilihat agak kekurangan figura azimat seperti Ronaldo, yang merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman.
Ronaldo mengambil keputusan meninggalkan Santiago Bernabeu setelah sembilan tahun berkhidmat bersama Real dan menyertai juara Itali Juventus bagi musim baharu ini.- REUTERS











