Pulau bekas penempatan pelarian Vietnam dinaik taraf tarik pelancong - Utusan Malaysia

Pulau bekas penempatan pelarian Vietnam dinaik taraf tarik pelancong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU 16 Ogos – Kerajaan negeri merancang memajukan Pulau Bidong yang terkenal dengan kesan sejarah penempatan pelarian Vietnam suatu ketika dahulu yang akan dijadikan pusat pelancongan khusus dan tersohor tidak lama lagi.

Sebagai permulaan, kerajaan akan memberi tumpuan kepada perkara-perkara asas terlebih dahulu termasuk menaik taraf trek berjalan kaki selain membersih semak samun bagi mewujudkan suasana mesra alam untuk tarikan pengunjung ke situ.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ketika memberi jaminan itu berkata, kerja-kerja membaik pulih persekitaran itu akan dilaksanakan secepat mungkin sebelum meneruskan projek lain di pulau berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau bagaimanapun memberitahu, buat masa ini pihaknya masih belum memutuskan jumlah kos yang diperlukan bagi tujuan tersebut sementara menunggu pembentangan bajet negeri Terengganu yang akan diumumkan oleh beliau sendiri pada November nanti.

Dr. Ahmad Samsuri juga memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan menyediakan jumlah peruntukan yang benar-benar mencukupi bagi memajukan Pulau Bidong tersebut.

“Kita akan ketahui jumlah peruntukan untuk kita majukan Pulau Bidong ini setelah saya bentangkan Bajet Negeri Terengganu (2019) pada November nanti.

“Malah kita juga bergantung kepada jumlah royalti (petroleum) yang kita jangka akan terima daripada kerajaan Pusat sama ada akhir bulan ini atau bulan depan,” katanya kepada pemberita di akhir lawatan kerja sehari beliau ke pulau berkenaan dekat sini semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd. Nor Hamzah.

Lawatan itu turut disertai ketua-ketua jabatan termasuk Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak; Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Saharuddin Mohd. Kia dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu, Lt. Kol (PA) Che Adam A. Rahman.

Ditanya mengenai bentuk pembangunan yang akan di pulau tersebut, beliau bagaimanapun menjelaskan, perkara itu diserahkan kepada bidang kuasa Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri untuk tindakan selanjutnya.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN