Jemaah bergerak lebih awal ke Arafah - Utusan Malaysia

Jemaah bergerak lebih awal ke Arafah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAFAH 15 Ogos – Jemaah Malaysia akan mula bergerak dari Mekah ke Arafah untuk wukuf pada pukul 7 pagi, 8 Zulhijah (19 Ogos), empat jam lebih awal daripada jadual tahun-tahun sebelum ini iaitu pada pukul 11 pagi atau selepas solat zuhur.

Menurut Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, penyediaan pendingin hawa di khemah-khemah Malaysia di Arafah musim haji ini membolehkan jemaah datang lebih awal untuk menunggu tempoh wukuf.

Katanya, sebanyak 264 buah bas disediakan iaitu 22 bas untuk setiap maktab yang setiap sebuah akan membuat tiga perjalanan bagi membawa jemaah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Terdapat 12 maktab di Mekah dengan setiap satu daripadanya menempatkan kira-kira 3,000 orang jemaah.
Menurut Syed Saleh, kesemua jemaah dijangka sampai di sini pada waktu isyak atau lewat malam jika berlaku kesesakan lalu lintas.

“Dengan itu, pasukan petugas masyair seramai 150 orang akan bergerak dari Mekah ke Arafah pada 7 Zulhijah (18 Ogos) dan bermalam di sini selama dua malam untuk memastikan semua kemudahan dan persiapan sudah dilakukan untuk menerima jemaah.

“Setakat ini persiapan sudah mencapai 90 peratus dan kita ada lima hari lagi untuk menyiapkan apa yang perlu dilaksanakan,” katanya selepas majlis solat hajat, bacaan Yasin dan doa selamat menjelang masyair di khemah Malaysia di sini.

Menurutnya, beberapa program akan diadakan untuk jemaah semasa di Arafah termasuk khutbah Arafah yang akan disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof yang tema serta topik­nya masih diperincikan.

Katanya, selepas maghrib dan makan malam pada 9 Zulhijah (20 Ogos), jemaah akan mula berge­rak ke Muzdalifah untuk mabit separuh malam iaitu sehingga 11.55 malam.

“Selepas itu jemaah akan bergerak ke Mina dan kita jangka dapat selesaikan sebelum pukul 7 atau 8 pagi (10 Zulhijah). Dengan itu semua jemaah akan berada di Mina untuk mabit dan melontar jamrah pada 10 Zulhijah dan hari tasyrik 11, 12 dan 13 Zulhijah,” katanya.

Beliau menasihatkan jemaah agar melontar secara berkumpulan mengikut penerbangan dan maktab masing-masing.

“Pada tahun ini Tabung Haji telah berbincang dengan Kementerian Haji Arab Saudi untuk mendapatkan waktu melontar yang sesuai dengan jemaah iaitu selepas asar hingga malam. Semasa itu cuaca kurang panas serta sesuai dengan waktu solat dan makan. Harap jemaah patuhi waktu melontar supaya perjalanan lancar dan tidak ramai berada di jamrah,” katanya.

Beliau berharap jemaah sudah bersedia menghadapi cabaran-cabaran semasa masyair iaitu cuaca panas dijangka mencecah 50 darjah Celcius, ruang khemah serta tandas yang terhad.

“Perjalanan dari Mekah-Arafah-Muzdalifah-Mina-Mekah memerlukan jemaah turun naik bas. Ia satu pergerakan besar-besaran dengan kira-kira tiga juta orang bergerak dari lokasi sama menuju tempat yang sama.

“Jarak perlu berjalan untuk melontar jamrah pula hampir 7.5 kilometer. Kita ada sediakan pos menunggu dan pasukan penyelamat untuk jemaah yang perlukan bantuan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN