PUTRAJAYA 15 Ogos – Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu kakitangan awam setia dengan kerajaan yang dipilih oleh rakyat tetapi pada masa sama perlu berani menolak sekiranya disuruh melakukan sesuatu yang salah serta bertentangan dengan undang-undang.
Perdana Menteri berkata, terdapat perbezaan antara arahan kerajaan melibatkan dasar-dasar tertentu berbanding arahan untuk melakukan jenayah.
“Dalam sistem kita, pegawai tadbir dan diplomatik (PTD), tentera dan polis perlu setia kepada kerajaan semasa tetapi kesetiaan itu tidaklah sampai tahap melakukan jenayah.
“Kalau disuruh membunuh, adakah hendak membunuh? Ada beza arahan kerajaan melibatkan dasar-dasar tertentu dengan arahan melakukan jenayah,” katanya ketika sesi Town Hall Perdana Menteri Bersama Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; menteri-menteri Kabinet dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.
Sesi bertemakan Langkah Ke Hadapan: Kebangkitan Kepimpinan Tulen itu dihadiri kira-kira 3,500 PTD dari seluruh negara.
Program tersebut menjadi platform kepada PTD untuk memahami dan menghayati aspirasi Perdana Menteri dan memberi peluang kepada pegawai-pegawai berkenaan untuk bertukar-tukar pandangan serta pendapat dengan pemimpin tertinggi negara.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, kerajaan tidak akan sesekali melindungi, berkompromi serta menunjukkan belas kasihan terhadap mana-mana pegawai kerajaan yang melakukan rasuah dan salah guna kuasa.
Beliau menegaskan, mereka yang berbuat demikian akan dikenakan tindakan seperti ditamatkan daripada perkhidmatan.
“Kita perlu menunjukkan teladan yang baik. Pemimpin kerajaan telah diberi amaran daripada saya bahawa kalau terlibat rasuah (akan dikenakan tindakan).
“Kalau di China, pesalah rasuah akan ditembak mati. Tetapi mereka tidak setujulah ditembak mati (ketawa) tetapi kalau pegawai kerajaan membuat perkara tidak baik, mereka akan dikeluarkan,” katanya.
Sementara itu, Dr. Mahathir berkata, kerajaan pimpinannya akan membela pegawai-pegawai kerajaan yang telah menjadi mangsa penganiayaan dalam usaha menegakkan kebenaran.











